Hampir Sedekad Sebagai Setiausaha Politik, Dr Dayang Nurfizawati Dicalonkan Di Muara Tuang
KUCHING: Pengalaman hampir sedekad sebagai Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak serta latar belakang profesional dalam industri minyak dan gas antarabangsa menjadi antara bekalan Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim yang diumumkan sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang.
Beliau yang menyandang jawatan Setiausaha Politik sejak 2017 berkata, pengalaman berkenaan memberikannya pendedahan luas dalam memahami keperluan masyarakat menerusi penglibatan secara langsung di lapangan.
Menurutnya, penglibatan dalam bidang politik bermula sejak berusia 18 tahun apabila menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), selain aktif dalam kerja-kerja kebajikan kerana melihat politik sebagai salah satu wadah untuk membantu masyarakat.
Mengulas mengenai pencalonannya, beliau mengakui tanggungjawab sebagai calon baharu mempunyai cabaran tersendiri.
“Sebagai calon baharu, sudah tentu ada cabarannya. Namun, Insya-Allah, kita mahu bekerja untuk rakyat dan saya akan melakukan yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media Pengumuman Senarai Calon GPS bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 oleh Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Ibu Pejabat PBB pada Rabu.
Dari segi akademik, Dr Dayang Nurfizawati memiliki ijazah kedoktoran dalam bidang perniagaan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta ijazah sarjana dalam bidang kejuruteraan kesihatan, keselamatan dan alam sekitar dari Universiti Malaya (UM).
Beliau turut memiliki ijazah sarjana muda dari Australia Barat dan pernah berkhidmat dalam industri minyak dan gas di luar negara sebelum menyertai bidang politik.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penglibatannya dalam politik turut dipengaruhi latar belakang keluarga yang mempunyai pengalaman dalam bidang berkenaan, selain minat terhadap kerja-kerja kebajikan sejak usia muda.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada penyandang terdahulu, Datuk Idris Buang atas sumbangan dan khidmatnya kepada masyarakat di kawasan Muara Tuang.
Dr Dayang Nurfizawati turut menyatakan hasrat untuk meneruskan usaha yang telah dilaksanakan sebelum ini, di samping mengenal pasti aspek yang memerlukan penambahbaikan bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez Jeffery & Hazrin Sunaini