Raptai Penuh Majlis Perasmian Jambatan Batang Lupar 2 Berjalan Lancar
SIMANGGANG: Persiapan menjelang Majlis Perasmian Jambatan Batang Lupar 2 yang dijadual berlangsung pada Khamis berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi susulan kelancaran sesi raptai penuh yang diadakan di tapak projek jambatan berkenaan pada Rabu.
Sesi raptai tersebut bertujuan memastikan semua aspek pelaksanaan majlis, termasuk penyelarasan atur cara, logistik dan teknikal, berada pada tahap terbaik bagi menjamin kelancaran acara perasmian.
Raptai penuh bermula pada jam 3.21 petang dengan simulasi ketibaan Premier Sarawak.
Simulasi ketibaan itu diserikan dengan persembahan tarian singa, gendang pampat dan kompang sebelum diteruskan dengan pergerakan ke pentas utama.
Raptai kemudiannya diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku, diikuti sesi fotografi serta simulasi penyampaian ucapan tetamu kehormat.
Turut diraptai ialah tayangan montaj dan gimik perasmian yang melibatkan acara menurunkan tandatangan pada plat digital oleh Premier Sarawak.
Sesi berkenaan turut merangkumi simulasi penyampaian pengiktirafan Malaysia Book of Records serta cenderamata daripada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Bahagian Sri Aman dan Betong serta urus setia program.
Raptai penuh itu diulangi bagi memastikan setiap perincian atur cara diselaraskan dengan baik sebelum berakhir pada jam 4.30 petang. –EDISI UKAS