Hari Terbuka Kem RASCOM Tawar Pelbagai Perkhidmatan Percuma 5 Disember Ini
SIBU: Pelbagai perkhidmatan percuma termasuk pemeriksaan kesihatan, derma darah, gunting rambut dan servis motosikal bakal ditawarkan kepada orang ramai sempena Hari Terbuka Kem RASCOM pada 5 Disember ini.
Program yang berlangsung dari 8 pagi hingga 4 petang di Kem RASCOM, Sibu itu dianjurkan bersempena sambutan ulang tahun ke-50 9 Briged dan Pelan Strategik Pertahanan Negara.
Selain perkhidmatan percuma, pengunjung turut berpeluang mengunjungi jualan rahmah, pameran aset dan senjata serta pameran survival.
Pelbagai kaunter perkhidmatan agensi kerajaan dan pihak swasta turut disediakan, antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), MySED dan penyedia insurans.
Penganjuran program itu bertujuan memberi peluang kepada masyarakat mengenali dengan lebih dekat peranan serta keupayaan aset pertahanan negara, selain mendapatkan pelbagai perkhidmatan daripada agensi terlibat.
Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai bagi memanfaatkan pelbagai kemudahan dan aktiviti yang disediakan.- EDISI UKAS