Perkhidmatan Perubatan Di Sarawak Tarik Pesakit Luar Negara
KUCHING: Peningkatan standard perkhidmatan perubatan di Sarawak menarik minat pesakit dari luar negara khasnya dari Indonesia untuk mendapatkan rawatan di sini berbanding di negeri lain.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, perkembangan itu mencerminkan kualiti perkhidmatan kesihatan negeri ini semakin mendapat kepercayaan pesakit dari luar.
“Sepuluh tahun lalu, standard perkhidmatan perubatan kita belum begitu baik, tetapi kini semakin meningkat sehingga ramai pesakit dari Indonesia, termasuk Jakarta, datang mendapatkan rawatan di Sarawak berbanding ke Johor, Kuala Lumpur atau Pulau Pinang.”
Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan pada Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Kuching yang dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Metrocity, Matang, pada Rabu.
Menurutnya, pencapaian itu turut membuktikan keupayaan tenaga perubatan tempatan, khususnya anak Sarawak, dalam memberikan perkhidmatan kesihatan berkualiti sehingga mampu bersaing dengan pusat perubatan di luar negeri.
Katanya, Pusat Jantung Sarawak telah menerima kira-kira 300,000 pesakit sepanjang 25 tahun operasinya, selain menawarkan kemudahan rawatan berkualiti kepada rakyat.
Beliau berkata, usaha memperkukuh sektor kesihatan negeri akan terus menjadi antara keutamaan bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada kemudahan perubatan berkualiti, selain menjadikan Sarawak destinasi pilihan bagi rawatan kesihatan.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri-Menteri Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, Residen Bahagian Kuching, Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi serta ketua-ketua jabatan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Mia Amira Jalil
Foto: Shahril Haqim, Asyafiee & George S.Embie