Kemudahan Moden Jadikan Kuching Bandar Pilihan Penduduk
KUCHING: Pembangunan kemudahan kesihatan, pendidikan dan infrastruktur moden terus memperkukuh kedudukan Kuching sebagai bandar yang menawarkan kualiti hidup lebih baik kepada penduduk.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, Kuching kini berkembang sebagai bandar gaya hidup moden dengan pelbagai kemudahan yang menyokong keperluan masyarakat, termasuk dalam aspek kesihatan dan pendidikan.
“Pada masa ini, Kuching merupakan sebuah bandar yang menawarkan gaya hidup moden kerana kita mempunyai kemudahan kesihatan, pendidikan dan pelbagai kemudahan moden.
“Pusat Jantung Sarawak juga berada dalam kalangan 100 terbaik di Asia Pasifik, membuktikan kita mempunyai bakat serta kepakaran anak Sarawak sendiri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan pada Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Kuching yang dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Metrocity, Matang, pada Rabu.
Menurutnya, pembangunan pelbagai kemudahan itu mencerminkan kemajuan Kuching yang semakin berkembang serta keupayaan negeri menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada penduduk.
Katanya, kemajuan sektor kesihatan dan pendidikan, selain pembangunan kemudahan moden, turut menjadikan Kuching bandar yang semakin selesa untuk didiami serta menawarkan pelbagai peluang kepada masyarakat.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri-Menteri Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, Residen Bahagian Kuching, Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi serta ketua-ketua jabatan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Mia Amira Jalil
Foto: Shahril Haqim, Asyafiee & George S.Embie