Kerjasama KMKK, Agensi Kerajaan Penting Demi Kebajikan Rakyat Muara Tuang
KOTA SAMARAHAN: Kerjasama antara Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dengan agensi kerajaan perlu terus diperkukuh bagi memastikan keperluan dan permasalahan penduduk di kawasan Muara Tuang dapat ditangani secara berkesan.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Datuk Idris Buang berkata, KMKK memainkan peranan penting sebagai penghubung antara masyarakat dengan agensi kerajaan, khususnya dalam menyalurkan maklumat berkaitan kebajikan dan keperluan penduduk setempat.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perjumpaan Khas Bersama Akar Umbi dan Ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan DUN Muara Tuang serta KMKK DUN Muara Tuang di Pusat Khidmat DUN Muara Tuang, Taman Desa Ilmu, pada Rabu.
“Saya amat berterima kasih atas segala kerjasama yang telah diberikan oleh KMKK sepanjang tempoh saya berkhidmat. Saya berharap semua KMKK terus membantu rakyat dan bekerjasama rapat dengan pihak Pejabat Daerah serta Pejabat Residen kerana banyak perkara dan keperluan masyarakat yang perlu kita tangani bersama,” katanya.
Mengimbas perjalanan khidmatnya selama kira-kira sedekad, beliau berkata, kebajikan golongan yang berdepan masalah kesihatan, kesukaran mendapatkan makanan serta memerlukan bantuan perubatan sentiasa menjadi antara keutamaannya dalam menyantuni masyarakat.
Beliau turut berharap pendekatan pusat khidmat dalam membantu KMKK dan masyarakat setempat dapat diteruskan melalui mekanisme yang bersesuaian pada masa hadapan.
Dalam perkembangan berkaitan, majlis tersebut turut menyentuh pencalonan Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim yang diumumkan sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi DUN Muara Tuang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Dr Dayang Nurfizawati mempunyai pengalaman hampir sedekad sebagai Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak sejak 2017, selain pernah berkhidmat dalam industri minyak dan gas di luar negara serta aktif dalam kegiatan kebajikan masyarakat.
Beliau memiliki ijazah kedoktoran dalam bidang perniagaan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), ijazah sarjana dalam bidang kejuruteraan kesihatan, keselamatan dan alam sekitar dari Universiti Malaya (UM) serta ijazah sarjana muda dari Australia Barat.
Pada kesempatan itu, Datuk Idris turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat setempat atas kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya, selain memohon maaf atas sebarang kekurangan ketika melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk terus menyumbang khidmat mengikut kemampuan demi kepentingan masyarakat. -EDISI UKAS