KUCHING: Bekas guru besar, Leonard Libau Anol, kini menggalas tanggungjawab lebih besar selepas dipilih sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-13 (PRN-13).
Selepas bersara daripada sektor pendidikan pada usia 60 tahun, beliau meneruskan khidmat kepada masyarakat menerusi pelantikan sebagai Penghulu Bandar Simanggang selama tiga tahun sebelum menggalas tanggungjawab sebagai Temenggong Iban di Bahagian Sri Aman selama setahun.
Leonard (64) berkata, penglibatannya dalam politik telah bermula sejak sekian lama apabila beliau sering mengikuti gerak kerja bekas penyandang kerusi Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis.
“Sejak dahulu lagi saya mengikuti beliau dan perkembangan politik semasa. Selepas dilantik sebagai penghulu, saya mula lebih aktif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Pengumuman Senarai Calon GPS bagi PRN Sarawak Ke-13 oleh Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada Rabu.
Untuk rekod, Datuk Francis Harden mula dipilih sebagai ADUN Simanggang pada 1996 ketika mewakili Barisan Nasional (BN) sebelum mempertahankan kerusi itu pada PRN Sarawak 2021 sebagai calon GPS.
Sepanjang tempoh tersebut, beliau berkhidmat selama enam penggal sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan.-EDISI UKAS