Wung Tawar Bawa Pembangunan Di Padungan Jika Dipilih
KUCHING: Lebih banyak pembangunan dan peruntukan bakal dinikmati di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Padungan jika rakyat di situ memberi mandat kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-13 (PRN-13).
Calon GPS bagi kerusi DUN Padungan, Wung Duk Ing, 40, berkata, kehadiran wakil rakyat GPS di Padungan berpotensi membuka lebih banyak ruang untuk membawa peruntukan serta sumber pembangunan kepada kawasan itu.
“Sekurang-kurangnya, jika kita mempunyai seorang wakil rakyat di kawasan Padungan, lebih banyak sumber dan peruntukan daripada GPS dapat disalurkan untuk manfaat kira-kira 24,000 pengundi di seluruh kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Pengumuman Senarai Calon GPS bagi PRN Sarawak Ke-13 oleh Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada Rabu.
Katanya, perkara asas berkaitan keperluan penduduk perlu diberi perhatian bagi memastikan kawasan berkenaan turut mendapat manfaat daripada peruntukan pembangunan.
Wung yang pertama kali menyertai pilihan raya akan membawa pengalaman lebih 15 tahun dalam bidang perundangan untuk menghadapi lawannya, Michael Kong yang turut aktif menjalankan tugas di kawasan berkenaan.
Beliau yang mula mengamalkan profesion guaman pada 2011 berkata, bidang litigasi yang melibatkan prosiding di mahkamah menjadi tumpuan utama sepanjang kerjayanya.
Wung berkata, beliau menyertai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) kira-kira empat tahun lalu dan sejak itu mula melibatkan diri dalam aktiviti serta gerak kerja parti.
Mengenai peluangnya, beliau berkata akan berusaha sebaik mungkin memenangi hati rakyat di kawasan itu.