Calon GPS Ngemah Berhasrat Utamakan Kemudahan Asas, Ekonomi Penduduk
KUCHING: Penambahbaikan kemudahan asas, peningkatan sosioekonomi penduduk serta pembangunan belia menjadi antara agenda utama Alexander Donald sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah pada Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN-13).
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata, keperluan terhadap jaringan jalan raya yang lebih baik, bekalan air bersih serta kemudahan perhubungan masih memerlukan perhatian bagi memastikan penduduk di kawasan berkenaan menikmati kemudahan yang lebih baik.
“Keutamaan saya adalah menyediakan kemudahan asas yang lebih baik, termasuk jalan raya, memperluas akses kepada bekalan air terawat serta memastikan bekalan elektrik yang boleh dipercayai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Pengumuman Senarai Calon GPS bagi PRN Sarawak Ke-13 oleh Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada Rabu.
Katanya, keperluan meningkatkan liputan telefon mudah alih dan akses internet juga diberikan keutamaan bagi membolehkan penduduk terus berhubung serta menggunakan pelbagai perkhidmatan dalam talian.
Selain itu jelasnya, usaha meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat turut menjadi fokusnya, khususnya dalam membantu golongan petani dan usahawan baharu mengembangkan sumber pendapatan.
Ini termasuk pembangunan belia menerusi latihan kemahiran teknologi maklumat (IT), keusahawanan dan pengurusan kewangan bagi membantu golongan muda meningkatkan keupayaan serta peluang ekonomi.
Beliau mahu golongan muda di Ngemah mendapat lebih banyak peluang membina kemahiran dan mengembangkan potensi tanpa perlu berhijrah jauh untuk mencari peluang pekerjaan.
Anak jati Ngemah berusia 58 tahun itu mempunyai pengalaman selama 23 tahun dalam sektor perbankan bersama Public Bank, termasuk berkhidmat sebagai pengurus cawangan di Limbang selama tujuh tahun.
Beliau juga merupakan anggota Parti Rakyat Sarawak (PRS) sejak penubuhannya pada 2004, namun tidak begitu aktif dalam kegiatan parti ketika masih bekerja.-EDISI UKAS