Kelvin Lau Tekad Bawa Pembangunan Infrastruktur ke Bawang Assan
SIBU: Pembangunan infrastruktur dan usaha meningkatkan jumlah penduduk menjadi antara keutamaan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan, Kelvin Lau Kor Jie, dalam usaha merancakkan pembangunan kawasan berkenaan.
Beliau berkata, penyediaan infrastruktur yang lebih baik mampu meningkatkan kemudahan perhubungan, menarik pertumbuhan penduduk serta membuka peluang kepada perkembangan aktiviti komersial dan ekonomi setempat.
Menurutnya, usaha itu turut penting bagi memastikan sekolah-sekolah sedia ada di kawasan Bawang Assan terus mendapat perhatian dan mempunyai jumlah pelajar yang mencukupi.
“Banyak sekolah bermula dari kawasan Bawang Assan. Saya berharap apabila jumlah penduduk terus meningkat, sekolah-sekolah ini dapat terus dipelihara dan mempunyai lebih ramai pelajar, sekali gus membantu membangunkan ekonomi serta meningkatkan taraf hidup masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media pengumuman senarai calon GPS bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 oleh Premier Sarawak merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, di sini, pada Rabu.
Mengulas potensi ekonomi kawasan itu, beliau berkata Bawang Assan mempunyai beberapa sektor yang boleh dikembangkan, termasuk perladangan, pertanian sayur-sayuran, pembinaan kapal dan akuakultur.
Katanya, cadangan menghubungkan Tebing Barat Sibu dengan pusat bandar Sibu melalui jambatan turut dilihat berpotensi meningkatkan hubungan antara kawasan, sekali gus merangsang pertumbuhan penduduk dan aktiviti komersial sebelum usaha memperkukuh sektor pertanian dilaksanakan.
Dalam pada itu, Kelvin berkata keutamaan awalnya adalah mendapatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat, selain memastikan komitmen pembangunan yang dijanjikan dapat dilaksanakan sekiranya diberi mandat.
Beliau turut mahu meneruskan usaha memperkukuh perpaduan masyarakat serta memainkan peranan sebagai ejen muhibah bagi memastikan keharmonian terus terpelihara.
Kelvin, 41, mempunyai latar belakang profesional dalam bidang ukur bahan merupakan Ketua Pemuda Pusat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan yang telah berkhidmat selama tiga tahun.-EDISI UKAS