Jambatan Batang Lupar 2 Buka Peluang Ekonomi Baharu
SRI AMAN: Pembinaan Jambatan Batang Lupar 2 bakal membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk di kawasan Sri Aman dan Betong, khususnya dalam sektor pertanian dan perikanan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembangunan infrastruktur perhubungan termasuk jalan raya dan jambatan penting dalam membuka kawasan baharu yang berpotensi untuk dikembangkan sebagai pusat aktiviti ekonomi.
"Dalam kita membangunkan ekonomi seluruh negeri Sarawak, infrastruktur, jaringan jalan sangat-sangat penting kerana ia membukakan kawasan yang boleh menjadi asas bagi kita mengembangkan ekonomi dalam beberapa sektor," katanya semasa berucap pada majlis perasmian jambatan tersebut di sini pada Khamis.
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, kawasan Lingga, Simanggang hingga Sebuyau berpotensi besar untuk pembangunan sektor pertanian, terutama dalam usaha memperkukuh keterjaminan makanan negeri.
Katanya, kemudahan infrastruktur yang dibangunkan kerajaan bukan sahaja merangkumi jalan raya dan jambatan, malah meliputi bekalan air serta elektrik agar rakyat menikmati kemudahan asas dan mengembangkan kegiatan ekonomi masing-masing.
Tegas beliau, jaringan perhubungan yang lebih baik membolehkan hasil pertanian dipasarkan dengan lebih mudah, sekali gus mengelakkan kerugian kepada pengusaha sekiranya hasil tanaman tidak dapat dijual dalam tempoh sewajarnya.
Tambahnya lagi, pembangunan jaringan perhubungan di kawasan berkenaan turut berpotensi memperkukuh hubungan ekonomi antara Sri Aman dan Betong melalui perancangan pembangunan secara bersepadu.
Jambatan Batang Lupar 2 yang menghubungkan Simanggang di Sri Aman dengan Lidong di Betong merupakan sebahagian daripada Pakej B3 Projek Jalan Utama Kedua Sarawak (Second Trunk Road).
Projek bernilai RM223.63 juta itu dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak dan dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak di bawah Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD).
Jambatan jenis kabel-penahan dengan panjang keseluruhan 870 meter, rentang utama 450 meter dan menara setinggi 145.5 meter mencipta rekod Malaysia Book of Records sebagai menara jambatan kabel-penahan tertinggi di Malaysia.
Dibuka kepada orang awam pada 31 Oktober lalu, jambatan tersebut menyediakan laluan alternatif yang memendekkan jarak perjalanan antara Sri Aman dengan Betong daripada kira-kira 73 kilometer melalui Lebuhraya Pan Borneo kepada sekitar 28 hingga 30 kilometer melalui Jalan Utama Kedua Sarawak.
Turut hadir semasa majlis itu ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri, Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh, ketua-ketua jabatan serta dif kenamaan lain.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Abdul Hadi & Irfan Malek