SRI AMAN: Simanggang dirancang untuk dibangunkan sebagai sebuah bandar moden menerusi perancangan pembangunan infrastruktur, kemudahan awam dan kawasan perumahan yang bakal memperkukuh pertumbuhan kawasan itu.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perancangan pembangunan berkenaan termasuk peluasan kawasan waterfront, pembinaan jalan raya berkembar dan pembangunan kawasan perumahan baharu.
"Selepas ini, kita bercadang membina waterfront sehingga ke Simanggang dan menyambungkannya dengan pembangunan jalan raya berkembar. Simanggang juga akan diperluas ke kawasan sekitarnya, termasuk pembangunan kawasan perumahan baharu.
“Perkara ini bukan kerana pilihan raya, tetapi memang sudah dalam perancangan kita. Kita sudah merancang pembangunan ini dan mahu meneruskannya dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Kini, kita sudah mempunyai sedikit pendapatan. Mengapa tidak kita jadikan Simanggang sebuah bandar moden?” katanya semasa berucap pada majlis perasmian Jambatan Batang Lupar 2 di sini pada Khamis.
Menurut Premier Sarawak, perancangan pembangunan itu turut mengambil kira keperluan menyediakan kemudahan awam, termasuk cadangan membangunkan sebuah pusat konvensyen mini di Simanggang.
Jelasnya, pembinaan Jambatan Batang Lupar 2 akan memendekkan masa perjalanan antara Simanggang dengan Betong kepada kira-kira 20 minit.
Selain itu tambahnya, kemudahan Lapangan Terbang Landasan Pendek Bebuling juga berpotensi meningkatkan akses ke kawasan berkenaan, dengan perjalanan udara dari Kuching ke Spaoh mengambil masa kira-kira 15 minit, diikuti perjalanan sekitar 20 minit ke Simanggang.
Jelas Premier, akses perhubungan yang semakin baik akan menyokong perancangan pembangunan Simanggang sebagai bandar moden pada masa hadapan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Abdul Hadi & Irfan Malek