Sultan Selangor, Tengku Permaisuri Berangkat Pulang Ke Selangor
KUCHING: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berangkat pulang ke Selangor hari ini selepas menamatkan lawatan rasmi selama tiga hari ke Sarawak.
Baginda berdua tiba di Terminal Kenamaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) sekitar jam 8.40 pagi sebelum berlepas pulang menggunakan pesawat khas pada jam 9.20 pagi.
Keberangkatan pasangan Diraja itu diiringi Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datu Morshidi Fredrick.
Lawatan ke Kuching pada Rabu lepas menyaksikan kehadiran Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri dalam beberapa pengisian sempena penganjuran Festival Kraf Borneo Sarawak 2026.
Antara pengisian lawatan ialah kunjungan ke Waterfront Expo and Craft Workshop bersempena Borneo Craft Global Expo & Conference (BCG 2.0) di Tebingan Sungai Kuching.
Baginda berdua meluangkan masa hampir dua jam untuk meninjau pelbagai hasil kraf tangan yang dibawa dari seluruh dunia.
Berlangsung selama lima hari dari 25 hingga 29 November, BCG 2.0 menghimpunkan penggiat industri kraf tempatan dan antarabangsa bagi mempromosikan hasil kraf tradisional, selain menyediakan platform perkongsian ilmu, kemahiran dan pengalaman serta memperluas jaringan kerjasama dalam industri berkenaan.
Program anjuran Majlis Kraf Sarawak itu turut disokong oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak serta Kraftangan Malaysia sebagai rakan strategik.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak