Peluang Calon Wanita Dalam Politik Satu Perkembangan Positif – Dayang Noorazah
KUCHING: Pertambahan calon wanita yang diberi peluang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 disifatkan sebagai perkembangan positif dalam memperluas penyertaan wanita dalam politik.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, peluang yang diberikan kepada lebih ramai wanita untuk terlibat dalam arena politik mencerminkan perkembangan yang baik dalam keterwakilan wanita.
Beliau yang sekali lagi dipilih sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi mempertahankan kerusi DUN Lingga turut berharap sokongan masyarakat di kawasan itu dapat diteruskan bagi membolehkannya menjalankan amanah dengan baik.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg kerana masih memberikan kepercayaan kepada saya untuk menjalankan amanah ini.
“Saya juga berterima kasih kepada masyarakat di kawasan Lingga yang masih menyokong saya untuk sekali lagi menjadi calon pada pilihan raya ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pengumuman calon GPS bagi PRN Sarawak Ke-13 di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, pada Rabu.
Mengulas persiapan menghadapi pilihan raya, beliau berkata, segala persiapan berjalan lancar setakat ini.
Beliau berharap keadaan itu dapat dikekalkan sehingga hari pengundian yang akan berlangsung pada 12 Disember kelak.
Dayang Noorazah memenangi kerusi DUN Lingga dengan memperoleh 3,700 undi dan majoriti 2,273 undi pada PRN Sarawak Ke-12 pada 2021.-EDISI UKAS