Pembentukan Kerajaan Ketika Penamaan Calon Masih Dalam Semakan AGC
KUCHING: Kemungkinan pembentukan kerajaan negeri sejurus proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 masih dalam semakan pihak Peguam Negara (AGC) bagi memastikan prosedur dan peraturan sedia ada dipatuhi.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, perkara itu telah dirujuk kepada AGC untuk penelitian lanjut sebelum sebarang keputusan atau pengumuman dibuat.
"Berdasarkan peraturan sedia ada, kita perlu melihat semua proses pilihan raya ini yang masih perlu dijalankan dan mesti dilaksanakan. Sebarang pengumuman akan dibuat selepas itu.
"Walau bagaimanapun, sebarang pemakluman akan kita beritahu kemudian selepas mendapat pengesahan daripada pihak berkaitan," katanya ketika melakukan lawatan ke Pusat Penamaan Calon PRN Sarawak Ke-13 di Dewan Serbaguna Taman Sukma pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan pemberita mengenai proses pilihan raya sekiranya parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkemungkinan membentuk kerajaan semasa penamaan calon.
Difahamkan, Parti GPS mempunyai kemungkinan besar untuk terus membentuk kerajaan baharu semasa proses penamaan calon memandangkan jumlah parti politik yang menyertai PRN Sarawak pada kali ini agak sedikit.
Ini ditambah dengan beberapa parti politik utama negara seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR), Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Parti Amanah Negara (AMANAH), Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) tidak menamakan calon bagi menghormati semangat kerjasama dan muafakat politik dengan GPS.
Mengulas mengenai penamaan calon melibatkan seorang calon sahaja, Datuk Seri Ramlan memberitahu, calon akan terus diumumkan sebagai pemenang tanpa bertanding. -EDISI UKAS