Pembangunan Infrastruktur Asas Kalaka Perlu Diteruskan
KUCHING: Pembangunan infrastruktur asas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka, khususnya jalan raya, bekalan elektrik, air dan sistem telekomunikasi, masih memerlukan perhatian bagi memastikan keperluan penduduk terus dipenuhi.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, sepanjang tempoh empat tahun lapan bulan memegang mandat sebagai wakil rakyat pada penggal lalu, masih terdapat beberapa kawasan yang belum menerima pembangunan sepenuhnya berikutan kos pelaksanaan yang tinggi dan projek berkenaan masih dalam perancangan kerajaan.
Bagaimanapun, menurut beliau, beberapa kemudahan infrastruktur juga telah dibangunkan dan dinaik taraf di kawasan berkenaan.
“Alhamdulillah terdapat pembangunan jalan-jalan pertanian, naik taraf rumah panjang dan jalan lorong serta parit di semua Kampung, pembinaan Dewan telah dan akan diteruskan termasuk juga naik taraf prasarana di semua sekolah di dalam DUN Kalaka,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan di Facebook selepas diumumkan sekali lagi sebagai calon GPS bagi mempertahankan kerusi DUN Kalaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Mohamad turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta kepimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) atas kepercayaan yang diberikan untuk mewakili kawasan itu sekali lagi.
Beliau berkata, sekiranya diberikan mandat semula oleh rakyat, beliau akan terus berusaha membawa manfaat kepada penduduk tanpa mengira latar belakang.
Katanya, beliau komited untuk menjalankan tanggungjawab dengan jujur dan bertanggungjawab, selain sentiasa mendengar suara serta keperluan masyarakat.
“Saya tidak menjanjikan segalanya dapat diselesaikan dalam sekelip mata, tetapi saya berjanji akan bekerja keras, berani menghadapi cabaran, dan tidak akan melupakan orang yang telah menyokong saya hari ini,” ujarnya.
Untuk rekod, PRN Sarawak Ke-12 pada 2021 merupakan pilihan raya pertama bagi Mohamad sebelum dipilih sebagai wakil rakyat.
Beliau memenangi kerusi DUN Kalaka dengan 3,893 undi serta majoriti 2,868 undi.-EDISI UKAS