KUCHING: Sebanyak 721 borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 telah dijual kepada parti-parti politik dan individu yang menyatakan minat untuk bertanding setakat malam semalam.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 40 calon telah membayar deposit bagi menyertai pilihan raya berkenaan.
Justeru, beliau menyeru semua bakal calon supaya membuat persediaan awal serta menyemak borang pencalonan dengan Pegawai Pengurus masing-masing atau di Pejabat SPR di Kuching bagi mengelakkan sebarang masalah ketika proses penamaan calon.
"Saya juga menyeru semua calon dan pihak-pihak berkaitan untuk hadir awal esok. Jika boleh, hadir seawal mungkin bagi memberi peluang kepada proses semakan berjalan dengan lancar memandangkan tempoh yang diberikan agak singkat, iaitu hanya satu jam dari pukul 9 hingga 10 pagi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan bagi melihat persiapan Pusat Penamaan Calon PRN Sarawak Ke-13 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semariang di Dewan Serbaguna Taman Sukma pada Jumaat.
Tambahnya, SPR tidak mempunyai pecahan terperinci berhubung jumlah borang yang dibeli oleh parti politik mahupun calon bebas setakat ini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Ramlan memberitahu, kesemua 82 pusat penamaan calon bagi PRN kali ini telah bersedia sepenuhnya untuk menerima calon yang akan mengemukakan kertas penamaan calon esok.
Jelasnya, persiapan di semua pusat penamaan calon telah selesai, termasuk simulasi proses penamaan calon yang dijalankan bagi memastikan kelancaran prosedur pada hari berkenaan.
"Pada hari ini, kami meninjau pusat penamaan calon bagi DUN Samariang untuk melihat persiapan dan menjalankan simulasi mengikut masa sebenar. Seperti yang kita lihat tadi, Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.
"Sehingga pagi ini, semua 82 pusat penamaan calon di seluruh Sarawak telah bersedia sepenuhnya untuk menerima calon-calon bagi proses penamaan calon esok yang akan bermula pada pukul 9 pagi dan ditutup pada pukul 10 pagi," katanya. -EDISI UKAS