Semua Projek Pembangunan Utama Sibu Perlu Direalisasikan Dalam Tempoh Lima Tahun
SIBU: Semua projek pembangunan utama yang dirancang untuk Sibu perlu direalisasikan dalam tempoh lima tahun akan datang bagi mentransformasikan bandar itu, merancakkan ekonomi serta mengekalkan penduduknya daripada terus berhijrah ke kawasan lain.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, projek berkenaan ialah cadangan Zon Ekonomi Sibu (SEZ), pembangunan semula Kampung Datu, pembangunan semula Bukit Assek dan pembinaan jambatan yang menghubungkan Tebingan Timur dan Tebingan Barat Sungai Rajang.
“Jadi, saya berharap agar beberapa perkara yang telah saya sebutkan itu dapat direalisasikan dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Jika tidak, ia akan menyukarkan kita. Namun, saya akan terus berusaha dengan bersungguh-sungguh,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan Media di sini, pada Khamis.
Selain pembangunan fizikal, Datuk Dr Annuar yang juga calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka turut menekankan keperluan menambah baik kesalinghubungan udara Sibu bagi menyokong pergerakan penduduk serta aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan.
Dalam aspek pendidikan dan kesihatan, berkata, cadangan penubuhan sekolah perubatan di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) turut menjadi antara tumpuan pembangunan jangka panjang Sibu.
Katanya, kajian kebolehlaksanaan penubuhan sekolah berkenaan telah diterima oleh lembaga universiti dan kini dikemukakan kepada pihak UTS untuk pertimbangan.
Sekiranya mendapat kelulusan, pengambilan kumpulan pertama pelajar dijangka dapat dilaksanakan dalam tempoh paling awal dua tahun, dengan jumlah awal dihadkan kepada 50 orang.
Beliau turut berharap pihak media terus memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat tepat mengenai perancangan serta peluang pembangunan di Sibu kepada masyarakat.
Hadir sama Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Sayed Azmee Wan Junaidi, Pengerusi Persatuan Wartawan Sibu (SJA) Florence Nervyn dan Setiausaha Institute of Rejang Journalists (IRJ) Watt Zacchaeus.-EDISI UKAS