Pusat Operasi Dan Bilik Gerakan PBB Bukit Semuja Dilancarkan Hadapi PRN Ke-13
SERIAN: Pusat Operasi dan Bilik Gerakan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bukit Semuja dilancarkan secara rasmi bagi memperkukuh persiapan jentera parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben berkata, kerjasama erat antara parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) penting bagi memastikan seluruh jentera bergerak secara tersusun dan bersepadu.
Menurut beliau, setiap petugas parti perlu memainkan peranan masing-masing khususnya dalam mendekati pengundi, memahami keperluan masyarakat serta menyampaikan maklumat berkaitan dasar dan pencapaian Kerajaan Sarawak.
“Semangat juang yang tinggi perlu kita tonjolkan kepada pengundi, tetapi pada masa sama kita mesti bekerjasama sebagai satu pasukan bagi memastikan kemenangan GPS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Pelancaran Pusat Operasi dan Bilik Gerakan Parti PBB Bukit Semuja di Berambeh Centre Ranchan, pada Khamis.
Datuk Martin turut menegaskan PRN Ke-13 merupakan peluang untuk rakyat menilai pelbagai inisiatif pembangunan yang telah dilaksanakan Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Antara inisiatif yang diketengahkan termasuk bantuan kebajikan, pendidikan tinggi percuma melalui Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), Endowment Fund Sarawak (EFS) serta pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas di kawasan luar bandar.
Menyentuh pembangunan di Bahagian Serian, beliau berkata Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) turut memainkan peranan penting dalam menyelaras pelaksanaan projek pembangunan berdasarkan keperluan rakyat di kawasan terlibat.
Beliau mengakui masih terdapat beberapa keperluan yang perlu ditambah baik, khususnya berkaitan bekalan air, elektrik dan liputan telekomunikasi, namun usaha menaik taraf kemudahan tersebut sedang dilaksanakan secara berperingkat.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera parti supaya terus memperkukuh perpaduan, meningkatkan usaha turun padang dan bekerjasama bagi memastikan persiapan menghadapi PRN Ke-13 berjalan lancar.
Turut hadir Ahli Parlimen Serian, Dato Sri Richard Riot Jaem. -EDISI UKAS