Skatepark Kampung Jerijih Dibuka, Kemudahan Riadah Belia Dipertingkat
JERIJIH: Pembinaan Skatepark Kampung Jerijih bernilai RM600,000 menyediakan kemudahan rekreasi baharu kepada golongan belia dan masyarakat setempat, khususnya bagi menggalakkan penglibatan dalam aktiviti sukan papan luncur.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, kemudahan yang dibangunkan menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Kerajaan Sarawak itu merupakan skatepark kelapan di Sarawak.
“Saya mengucapakan terima kasih kepada kontraktor kita kerana telah berjaya menjalankan tanggungjawab, amanah untuk menyiapkan projek ini dalam jangka masa yang dijadualkan,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian kemudahan itu pada Jumaat.
Datuk Len berharap kemudahan berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan belia selain menjadi ruang untuk mengembangkan minat dan bakat dalam sukan papan luncur.
Menurutnya, skatepark itu juga berpotensi menjadi tarikan baharu kepada peminat sukan berkenaan dari kawasan sekitar termasuk Sarikei, Matu dan Daro.-EDISI UKAS