Pengundi Diseru Keluar Mengundi Pada PRN Sarawak Ke-13, Tunaikan Tanggungjawab Demokrasi
JERIJIH: Pengundi diseru supaya keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 yang akan diadakan pada 12 Disember depan bagi menunaikan tanggungjawab demokrasi masing-masing.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi DUN Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, setiap pengundi perlu membuat pilihan secara bijak dan bertanggungjawab kerana keputusan pilihan raya akan menentukan hala tuju pembangunan kawasan untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Jadi kita mahu semua turun mengundi. Tidak mengambil masa yang lama, tidak sampai seminit kita pangkah. Tapi impak mengundi adalah hingga lima tahun yang akan datang, kalau kita salah pangkah kelak kita akan merana lima tahun yang akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Projek Pembinaan Taman Permainan Papan Luncur (Skate Park) di Kampung Jerijih, pada Jumaat.
Menurut Datuk Len, kadar keluar mengundi sekitar 67 peratus pada PRN Sarawak Ke-12 lalu perlu dijadikan peringatan kepada pengundi supaya tidak mengambil mudah tanggungjawab mereka dalam menentukan wakil rakyat.-EDISI UKAS