Datuk Abdullah Saidol Mohon Restu Ibu Bapa Menjelang Hari Penamaan Calon
SEMOP: Menjelang Hari Penamaan Calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 pada Sabtu, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.42 Semop, Datuk Abdullah Saidol meluangkan masa mengunjungi kedua-dua ibu bapanya bagi memohon restu pada Jumaat.
Ketika dihubungi, beliau yang Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) berkata, amalan memohon restu ibu bapa merupakan rutin yang dilakukannya setiap kali menjelang pilihan raya sejak pertama kali bertanding pada 2011.
Menurut beliau, ibunya yang kini berusia 81 tahun merupakan insan yang sentiasa memberikan teguran dan nasihat kepada beliau serta adik-beradiknya.
Antara nasihat yang sering dititipkan ibunya adalah supaya sentiasa menjaga kesihatan, bersikap jujur dan tidak ‘ngakal’, iaitu istilah yang membawa maksud jangan menipu.
Bapanya pula yang kini berusia 88 tahun merupakan seorang pesara guru.
Kunjungan tersebut dilakukan sehari sebelum proses penamaan calon bagi kerusi DUN N.42 Semop yang dijadualkan berlangsung di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Meradong pada Sabtu. –EDISI UKAS