Program Santai ‘Adep Sama Adep’ Erat Hubungan Calon Dan Masyarakat Tebedu
TEBEDU: Program Santai ‘Adep Sama Adep’ yang berlangsung di Pusat Pembangunan Belia Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu pada Khamis menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi DUN Tebedu, Dr Simon Sinang Bada berkata, program santai seumpama itu penting bagi menyediakan ruang kepada masyarakat untuk berinteraksi, bertukar pandangan serta mengeratkan hubungan antara satu sama lain.
"Rakyat perlu memahami kepentingan proses demokrasi dan membuat pilihan secara bijak berdasarkan keupayaan serta rekod pencapaian parti-parti yang bertanding," katanya.
Mengulas pembangunan Sarawak, Dr Simon memuji kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang berjaya meningkatkan peruntukan pembangunan negeri daripada lebih RM5 bilion pada 2021 kepada RM14 bilion pada 2026.
Katanya, pencapaian tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pembangunan negeri serta memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat.
Beliau turut menyifatkan peruntukan RM150 juta bagi setiap kawasan DUN di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) sebagai satu pencapaian penting dalam usaha mempercepat pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi di kawasan terlibat.
Tegasnya, GPS sentiasa prihatin terhadap keperluan dan kebajikan rakyat serta komited meneruskan agenda pembangunan demi memastikan Sarawak terus maju dan makmur.
"Saya menyeru masyarakat agar menilai setiap parti yang bertanding berdasarkan keupayaan, pengalaman dan komitmen mereka dalam memperjuangkan kepentingan rakyat serta masa depan Sarawak," tegas beliau lagi. -EDISI UKAS