Laungan ‘Hidup GPS’ Iringi Perarakan Premier Sarawak Ke PPC DUN Gedong
GEDONG: Laungan ‘Hidup GPS’ mengiringi perarakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, ketika tiba di Dewan Masyarakat Gedong bagi proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, pada Sabtu.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong hadir untuk mengemukakan kertas pencalonan bagi mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada PRN Sarawak 2021.
Beliau diiringi pencadangnya Dato Sri Mohamad Naroden Majais dan penyokong, Francis Kunche serta penyokong lain yang memenuhi kawasan pusat penamaan calon, dengan laungan sokongan mengiringi perjalanan beliau ke Pusat Penamaan Calon (PPC).
Pada PRN Sarawak Ke-12, Datuk Patinggi Abang Zohari mencatat kemenangan besar dalam penampilan sulungnya di Gedong apabila memperoleh 4,310 undi dengan majoriti 3,607 undi.
Kemenangan itu menyaksikan beliau menewaskan tiga pencabar, iaitu Mohamad Sofian Fariz Sharbini daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang memperoleh 703 undi, Tomson Ango daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) dengan 157 undi dan Kamal Bujang daripada Parti Amanah Negara (Amanah) yang mendapat 94 undi.
Beliau sebelum ini mewakili DUN Satok selama lapan penggal sebelum berpindah ke Gedong pada pilihan raya 2021, selepas penyandang ketika itu, Dato Sri Mohd Naroden, memberi laluan kepadanya.
PRN Sarawak Ke-13 menyaksikan perebutan 82 kerusi DUN, dengan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan rasmi calon yang bertanding.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 Disember sebagai hari pengundian awal, manakala hari pengundian biasa berlangsung pada 12 Disember 2026. -EDISI UKAS