Billy Sujang Tiba Di Pusat Penamaan Calon DUN Opar
LUNDU: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.1 Opar, Billy Sujang tiba di pusat penamaan calon di Sekolah Kebangsaan (SK) Bumiputera di sini pada Sabtu bagi mengemukakan borang pencalonan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Suasana di sekitar pusat penamaan calon meriah sejak awal pagi dengan kehadiran kira-kira 1,000 penyokong daripada pelbagai parti politik.
Berdasarkan maklumat awal, DUN Opar dijangka menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan GPS, Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI).
Bagaimanapun, jumlah sebenar calon yang layak bertanding hanya akan diketahui selepas pengumuman rasmi oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya sebaik sahaja proses penamaan calon selesai.
Hari penamaan calon hari ini menandakan bermulanya proses pencalonan bagi PRN Sarawak Ke-13 dengan hari pengundian dijadualkan pada 12 Disember 2026. –EDISI UKAS