Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi Tiba Di Pusat Penamaan Calon DUN Pantai Damai
KUCHING: Bakal calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.4 Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi tiba di pusat penamaan calon di Dewan Merpati, TVETMARA Institut Kemahiran MARA (IKM) Kuching, pada Sabtu.
Beliau hadir bersama isteri, Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin serta pencadang bagi mengemukakan borang pencalonan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Ketibaan beliau turut diiringi kira-kira 500 penyokong yang berkumpul sejak awal pagi di sekitar pusat penamaan calon berkenaan.
Suasana di sekitar pusat penamaan calon berlangsung dalam keadaan teratur menjelang proses penyerahan borang pencalonan yang dijadualkan bermula jam 9 pagi hingga 10 pagi.
Senarai rasmi calon yang layak bertanding bagi kerusi DUN Pantai Damai akan diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya sebaik sahaja proses penamaan calon selesai.
Hari pengundian bagi PRN Sarawak Ke-13 dijadualkan pada 12 Disember 2026. -EDISI UKAS