Peningkatan Hasil Sarawak Pacu Infrastruktur, Perluas Peluang Pendidikan
BETONG: Peningkatan hasil negeri membolehkan Kerajaan Sarawak memperluas pelaksanaan projek infrastruktur serta memperkukuh akses pendidikan bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati rakyat secara menyeluruh.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, peningkatan pendapatan negeri memberi ruang kepada kerajaan untuk menambah peruntukan bagi pembangunan kemudahan asas termasuk jalan raya, jambatan, sekolah baharu dan klinik kesihatan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Upacara Miring sempena Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN13) di Rumah Panjang Gensurai, Layar, Betong, pada Jumaat.
Menurut beliau, komitmen terhadap sektor pendidikan turut diperkukuh menerusi penubuhan sekolah di bawah Yayasan Sarawak, termasuk Yayasan Sarawak International Secondary School, selain pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang menyediakan pendidikan tinggi percuma di universiti milik negeri.
Datuk Amar Douglas berkata, peningkatan hasil negeri turut membolehkan kerajaan memperluas bantuan keperluan asas serta peluang pendidikan bagi menyokong usaha meningkatkan taraf hidup rakyat.
Sementara itu, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, pembangunan infrastruktur asas seperti rangkaian jalan perhubungan, bekalan elektrik dan air bersih terus diberi perhatian bagi meningkatkan akses serta kemudahan kepada masyarakat.
Beliau turut menyorot perkembangan Jambatan Batang Lupar 2 yang dibuka kepada lalu lintas awam pada 31 Oktober lalu sebelum dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada Khamis.
Menurut Datuk Gerald, usaha memperkukuh sektor pendidikan juga penting bagi memastikan anak-anak Sarawak berpeluang melanjutkan pendidikan sehingga Tingkatan Enam serta mengakses pendidikan tinggi tanpa kekangan kewangan menerusi inisiatif kerajaan negeri.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar terus menyokong kerajaan Sarawak bagi memastikan kestabilan politik dan kesinambungan agenda pembangunan negeri dapat dikekalkan.
Upacara Miring yang diketuai Temenggung Masyarakat Iban Bahagian Betong, Temenggung Richard Mulok itu diadakan bagi memohon restu, perlindungan dan kelancaran sepanjang proses PRN13, selain menjauhkan malapetaka serta persengketaan.
Turut hadir, Mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Alfred Jabu Numpang, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu, Mantan Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Mapong serta Tuai Rumah Panjang Gensurai, Edward Anding.-EDISI UKAS