Datuk Dr Hazland Menang Tanpa Bertanding, Demak Laut Teruskan Agenda Pembangunan
KUCHING: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Dr Hazland Abang Hipni, diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.05 Demak Laut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 selepas proses penamaan calon selesai di Pusat Penamaan Calon, Dewan Toh Puan Hajah Madniah, pada Sabtu.
Pengisytiharan itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Lim Hock Meng, tepat pada jam 10.25 pagi selepas proses penamaan calon dan semakan dokumen pencalonan selesai dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Datuk Dr Hazland hadir di pusat penamaan calon seawal jam 8.20 pagi bersama pencadang, Hassan Elidan, dan penyokong, Masalia Suhai.
Mengulas kemenangan tersebut, Datuk Dr Hazland menyifatkan kemenangan tanpa bertanding itu sebagai satu petanda kematangan politik dan kefahaman masyarakat terhadap proses demokrasi.
“Alhamdulillah, kita telah dapat menjalani proses demokrasi dan akhirnya kita menang tanpa bertanding. Ini merupakan satu lonjakan dari segi mentaliti dan kefahaman politik, bukan sahaja di Sarawak tetapi juga seluruh Malaysia,” katanya.
Menurut beliau, kemenangan tersebut membolehkan agenda pembangunan di Demak Laut diteruskan bagi tempoh lima tahun akan datang, khususnya dalam meningkatkan kualiti serta taraf kehidupan penduduk.
Beliau berkata, antara pembangunan besar yang telah dibawa ke kawasan Demak Laut termasuk Jambatan Sejikat, Jambatan Bakor serta projek-projek perumahan di Turban Melayu dan kawasan lain.
“Untuk masa depan, kita mempunyai dua projek besar iaitu pelabuhan luar dalam di Tanjong Bang dan juga lapangan terbang baharu di Tanjong Bang. Selain itu, saya akan terus meningkatkan kualiti dan taraf kehidupan rakyat serta penduduk saya,” katanya.
Datuk Dr Hazland turut memaklumkan bahawa Demak Laut mempunyai kira-kira 27,505 penduduk yang merangkumi 40 kampung, sekali gus menuntut komitmen berterusan dalam memastikan pembangunan kawasan itu dilaksanakan secara menyeluruh.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera GPS, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta penduduk Demak Laut atas sokongan yang diberikan.
“Saya mengucapkan banyak terima kasih kepada semua ahli GPS, khususnya PBB di N.05 Demak Laut. Kemenangan ini bukan sahaja untuk saya, tetapi juga merupakan satu kematangan besar bagi seluruh jentera parti dan penduduk Demak Laut,” katanya.
Kemenangan tanpa bertanding itu menyaksikan GPS berjaya mengekalkan kerusi DUN N.05 Demak Laut bagi penggal seterusnya.
Datuk Dr Hazland merupakan ahli politik berpengalaman yang telah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut sejak 2011.
Penglibatan beliau dalam politik bermula sejak 1991 melalui khidmat membantu bekas wakil rakyat sebelum memegang beberapa jawatan dalam PBB, termasuk Ketua Cawangan PBB Demak Laut.
Beliau turut memegang jawatan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak sejak Januari 2022.
Sementara itu, proses penamaan calon berlangsung dalam keadaan terkawal dengan pengendalian petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat penamaan calon berkenaan.-EDISI UKAS