Dato Sri Abdul Karim Pertahan DUN Asajaya, Menang Tanpa Bertanding
ASAJAYA: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.15 Asajaya selepas diisytiharkan menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, pada Sabtu.
Pengisytiharan itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Jerry Zannuddin Bidin selepas proses penamaan calon dan semakan dokumen pencalonan selesai dilaksanakan di Pusat Penamaan Calon (PPC), Dewan Tan Sri Datuk Amar Haji Abang Ikhwan Zaini.
Dato Sri Abdul Karim yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) merupakan calon tunggal yang disahkan layak bertanding bagi kerusi berkenaan, sekali gus membolehkan beliau mengekalkan kerusi DUN Asajaya tanpa melalui proses pengundian.
Sementara itu, keseluruhan proses penamaan calon berjalan lancar, teratur dan dalam suasana aman dengan urusan penerimaan serta semakan dokumen pencalonan dikendalikan oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Kehadiran penyokong turut memeriahkan suasana di sekitar pusat penamaan calon, manakala aspek keselamatan berada dalam keadaan terkawal hasil pemantauan pihak berkuasa sepanjang proses berkenaan.
Pada PRN Sarawak Ke-12 yang berlangsung pada 18 Disember 2021, Dato Sri Abdul Karim berjaya mempertahankan kerusi DUN Asajaya yang diwakilinya sejak 2001.
Kemenangan tanpa bertanding kali ini membolehkan beliau meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat Asajaya bagi penggal keenam berturut-turut. -EDISI UKAS