PRN13: DUN Senadin Saksikan Pertembungan Empat Penjuru
MIRI: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.75 Senadin menyaksikan pertandingan empat penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 selepas empat calon disahkan layak bertanding pada hari penamaan calon pada Sabtu.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Abdul Rahman Taupek mengumumkan perkara itu selepas proses semakan kertas penamaan calon selesai dilaksanakan di Pusat Penamaan Calon (PPC), Dewan Interim ADTEC JTM Kampus Miri.
Empat calon yang disahkan bertanding ialah penyandang kerusi, Dato Sri Lee Kim Shin daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Alan Ling Sie Kiong daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP), Ngieng Sheng Chung daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) serta calon Bebas, Tibin Sidu.
Dato Sri Lee hadir mengemukakan kertas penamaan calon bersama pencadang, Dato Sri Law Kiu Kiong dan penyokong, Julaihi Mohamad.
Sementara itu, Alan Ling diiringi pencadang, Hii Bei Seng dan penyokong, Sellyherry Jimy Seli, manakala Ngieng Sheng Chung hadir bersama pencadang, Andy Sii Hee En dan penyokong, Brian Ngu Xuen Sien.
Tibin Sidu pula mengemukakan kertas penamaan calon bersama pencadang, Justin Ong Chemadau dan penyokong, Jinap Jinan.
Proses penamaan calon yang berlangsung dari jam 9 hingga 10 pagi berjalan lancar dan terkawal dengan urusan penerimaan serta semakan dokumen dikendalikan oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pada PRN Sarawak Ke-12 yang berlangsung pada 18 Disember 2021, Dato Sri Lee berjaya mempertahankan kerusi DUN Senadin.
PRN kali ini menyaksikan beliau kembali bertanding bagi mempertahankan kerusi berkenaan dengan berdepan saingan daripada calon DAP, PBK dan Bebas.
SPR menetapkan 12 Disember 2026 sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak Ke-13. -EDISI UKAS