Dato Fazzrudin Menang Tanpa Bertanding Kerusi DUN Tupong
KUCHING: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.06 Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman disahkan menang tanpa bertanding bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 selepas menjadi satu-satunya calon yang mengemukakan borang pencalonan di Dewan Al-Muneerah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petra Jaya, di sini pada Sabtu.
Mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS), beliau hadir pada jam 9 pagi bersama pencadang, Anita Mohammed dan penyokong, Jaffary Idris bagi menyerahkan borang pencalonan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ketibaan beliau turut diiringi Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Amar Fadillah Yusof bersama hampir 1,000 penyokong yang berarak dari Dewan Serbaguna Kampung Pinang Jawa ke lokasi penamaan calon sebagai tanda sokongan terhadap penyertaannya dalam PRN kali ini.
Keputusan yang disahkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN N.06 Tupong, Abang Iskandar Bolhassan Abang Mohamad Ariff itu membolehkan Dato Fazzrudin mengekalkan kerusi DUN Tupong bagi penggal seterusnya tanpa perlu melalui proses pengundian pada 12 Disember ini.
Bercakap kepada media, Dato Fazzrudin menegaskan komitmen untuk terus memberikan khidmat kepada seluruh masyarakat tanpa mengira bangsa, agama mahupun kecenderungan politik.
Menurutnya, kemenangan itu bukan alasan untuk berasa selesa, sebaliknya membawa amanah dan tanggungjawab lebih besar untuk memastikan ketiga-tiga aspek berkenaan terus diperkukuhkan di kawasan Tupong.
"Jadi pertama sekali, saya ingin mengucap syukur kepada Allah SWT di atas kemenangan menang tanpa bertanding ini.
"Yang keduanya, sudah tentu saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Premier Sarawak selaku Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg kerana memberi peluang kepada saya untuk menjadi calon di sini.
“Saya juga ingin menyatakan penghargaan saya kepada parti-parti nasional dan juga parti-parti Sarawak di mana mereka membuat keputusan untuk tidak bertanding atas dasar hendak mengekalkan perpaduan, mengekalkan kesinambungan pembangunan dan juga mengekalkan kestabilan politik.
“Jadi sekarang ini menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan harapan tersebut dapat kita terjemahkan dan kita perkukuhkan lagi di kawasan N.06 Tupong. Kestabilan politik, kesinambungan pembangunan dan perpaduan itu menjadi tanggungjawab utama bagi saya,"katanya.
Bagi tempoh lima tahun akan datang, beliau menekankan pembangunan kawasan bandar seperti Tupong akan diteruskan menerusi pembinaan kemudahan baharu,penambahbaikan infrastruktur sedia ada serta penggantian kemudahan yang sudah usang.
Selain pembangunan fizikal, tumpuan turut diberikan kepada pembangunan modal insan, pengukuhan ekonomi dan perpaduan masyarakat, selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Beliau turut memberi komitmen untuk meneruskan usaha mencungkil dan membangunkan bakat muda tempatan dalam bidang sukan agar lebih ramai berpeluang beraksi di peringkat lebih tinggi. -EDISI UKAS