Wilfred Yap Tiba Di Pusat Penamaan Calon DUN Kota Sentosa
KOTA SENTOSA: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.12 Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin tiba di pusat penamaan calon di Perpustakaan Awam Kota Sentosa pada jam 8.32 pagi, Sabtu.
Beliau hadir bersama pencadang, Wong Ka Chuang dan penyokong, Chai Yong Liang bagi mengemukakan borang pencalonan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Wilfred merupakan penyandang kerusi DUN Kota Sentosa selepas memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 1,683 undi pada PRN Sarawak Ke-12 yang berlangsung pada 18 Disember 2021.
Berdasarkan maklumat awal, DUN Kota Sentosa dijangka menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan GPS, Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK).
Bagaimanapun, senarai rasmi calon yang layak bertanding akan diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya sebaik sahaja proses penamaan calon selesai.
Hari pengundian bagi PRN Sarawak Ke-13 dijadualkan pada 12 Disember 2026. –EDISI UKAS