PRN13: DUN Kota Sentosa Saksikan Pertembungan Tiga Penjuru
KOTA SENTOSA: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.12 Kota Sentosa menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 membabitkan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK).
Ketiga-tiga calon berkenaan ialah penyandang kerusi, Wilfred Yap Yau Sin daripada GPS, Chong Chieng Jen (DAP) dan Lue Cheng Hing (PBK) yang masing-masing mengemukakan kertas penamaan calon di Pusat Penamaan Calon (PPC), Perpustakaan Awam Kota Sentosa, pada Sabtu.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohd Hazwan Othman mengumumkan senarai calon yang layak bertanding pada jam 10.14 pagi selepas proses semakan kertas penamaan calon selesai dilaksanakan.
“Sebagai pegawai bertugas, saya dengan ini memaklumkan bahawa sebanyak tiga kertas penamaan calon daripada tiga parti telah diterima, disemak dan saya berpuas hati dengan ketiga-tiga calon,” katanya.
Terdahulu, Wilfred Yap hadir bersama pencadang, Wong Ka Chuang dan penyokong, Chai Yong Liang bagi mengemukakan kertas penamaan calon.
Sementara itu, Chong Chieng Jen hadir diiringi pencadang, Leslie Law Hoi Yew dan penyokong, Sylvester Lim Kai Bin, manakala Lue Cheng Hing diiringi pencadang, Chai Ko Pun dan penyokong, Wong Pik Ming.
Pada PRN Sarawak Ke-12 yang berlangsung pada 18 Disember 2021, Wilfred Yap berjaya memenangi kerusi DUN Kota Sentosa dengan majoriti 1,683 undi.
PRN kali ini menyaksikan beliau kembali bertanding bagi mempertahankan kerusi berkenaan dengan berdepan saingan daripada calon DAP dan PBK.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Disember 2026 sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak Ke-13. -EDISI UKAS