KOTA SAMARAHAN: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.17 Stakan menyaksikan pertandingan dua penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 selepas dua calon disahkan layak bertanding di pusat penamaan calon di SJK Chung Hua Sungai Jernang pada Sabtu.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Rais Ahmad mengesahkan perkara itu selepas proses penamaan calon dan semakan dokumen pencalonan selesai dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Dua calon yang disahkan bertanding ialah Datuk Hamzah Brahim daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Atet Dego daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK).
Sementara itu, proses penamaan calon berlangsung dalam suasana tenang dan terkawal dengan urusan pencalonan dikendalikan oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Kehadiran penyokong kedua-dua calon turut mewarnai suasana di sekitar pusat penamaan calon, manakala keseluruhan proses berjalan lancar tanpa sebarang gangguan ketara.-EDISI UKAS