Batu Kawah Saksikan Pertandingan Dua Penjuru GPS-DAP
PADAWAN: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.14 Batu Kawah menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Tay Guan Huat mengumumkan penyandang, Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian mewakili GPS akan berdepan Sim Kiat Leng daripada DAP bagi merebut kerusi berkenaan.
Datuk Amar Dr Sim Kui Hian mengemukakan kertas penamaan calon pada jam 9.01 pagi, manakala Sim Kiat Leng menyerahkan kertas pencalonannya pada jam 9.05 pagi.
Kedua-dua calon disahkan layak bertanding pada jam 10 pagi selepas proses semakan dokumen pencalonan selesai dilaksanakan oleh pihak pengurusan pilihan raya.
Suasana di pusat penamaan calon di Dewan Majlis, Majlis Perbandaran Padawan turut meriah dengan sorakan dan laungan sokongan daripada penyokong kedua-dua parti yang hadir bagi menyaksikan proses penamaan calon.-EDISI UKAS