BAU: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.18 Serembu menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 selepas tiga calon disahkan layak bertanding di pusat penamaan calon di Dewan Sri Bestari, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paku pada Sabtu.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ong Chin Ping mengesahkan perkara itu pada jam 10.30 pagi selepas proses penamaan calon dan semakan dokumen pencalonan selesai dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Tiga calon yang disahkan bertanding ialah Bego Sepop daripada Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Dato Miro Simuh daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Michael Thomas Ason daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK).
Terdahulu, penyokong mula memenuhi perkarangan pusat penamaan calon, manakala Dato Miro tiba pada jam 8.45 pagi bagi mengemukakan borang pencalonan.
Keseluruhan proses penamaan calon berlangsung lancar sebelum pengumuman rasmi dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya. – EDISI UKAS