KUCHING: Seramai tiga calon disahkan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.09 Padungan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 sekali gus menyaksikan saingan tiga penjuru.
Pengesahan itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Wong Ming Kong selepas proses penamaan calon selesai di Dewan Masyarakat (Old Wing), Jalan Padungan pada Sabtu.
Calon yang disahkan bertanding mengikut aturan adalah Nicholas Wung Duk Ying daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Chhan Cheng Kiat daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK), dan Michael Kong Feng Nian daripada Parti Tindakan Demokratif (DAP).
Nicholas Wung hadir bersama pencadangnya Bong Lian Huan dan penyokongnya Ting Tmai Hing manakala Chhan hadir bersama pencadangnya, Chiew Toh Siong dan penyokongnya, William Bong Kei Chung.
Michael Kong pula hadir bersama pencadangnya, Sim Poh Kheng dan penyokongnya, Nai Kian Tiong.
Proses penamaan calon berlangsung dalam keadaan suasana yang tenang dengan setiap penyokong bagi calon-calon bertanding hadir memberi semangat.
Wung diiringi lebih 200 penyokong hadir sekitar 8.42 pagi manakala Michael Kong hadir sekitar 8.50 pagi selain Chhan hadir lebih awal pada sekitar 8.32 pagi.
Kerusi ini juga menyaksikan kesemua calon baharu ditampilkan setelah penyandang DUN Padungan Chong Chieng Jen tidak mempertahankan kerusinya setelah mengumumkan untuk bertanding kerusi DUN N.12 Kota Sentosa. -EDISI UKAS