Tiga Calon Sah Bertanding Di DUN Pending Pada PRN Sarawak Ke-13
KUCHING: Seramai tiga calon disahkan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.10 Pending pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, menyaksikan pertandingan tiga penjuru.
Pengesahan itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya selepas proses penamaan calon selesai di Auditorium Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) pada jam 10.14 pagi, Sabtu.
Calon yang disahkan bertanding ialah Dato Wee Hong Seng daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), penyandang kerusi berkenaan, Violet Yong Wui Wui daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Tiong Ing Neng daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK).
Dato Wee yang juga Datuk Bandar Kuching Selatan ketika ditemui pemberita menyatakan harapan agar masyarakat di kawasan Pending turut menikmati manfaat pembangunan yang dilaksanakan menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Sementara itu, proses penamaan calon berlangsung lancar dalam suasana yang tenang dan terkawal.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Disember 2026 sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak Ke-13. –EDISI UKAS