Masyarakat Cina Diseru Bersama GPS Perkukuh Perpaduan Negeri
PADAWAN: Masyarakat Cina di Sarawak diseru terus bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi memperkukuh perpaduan dan kestabilan negeri, sekali gus menyokong agenda pembangunan yang memberi manfaat kepada seluruh anak negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Professor Dr Sim Hui Kian berkata, masyarakat Cina juga merupakan sebahagian daripada anak Sarawak dan wajar memainkan peranan bersama dalam arus pembangunan negeri, bukannya terus berada di luar kelompok utama.
“Kita semua adalah anak Sarawak dan Premier telah menunjukkan komitmen menerusi dasar GPS, sama ada dalam bidang pendidikan, SKS mahupun bekalan elektrik, yang memastikan setiap anak Sarawak mendapat perhatian,” katanya ketika ditemui media selepas penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 di Dewan Majlis, Majlis Perbandaran Padawan, pada Sabtu.
Menurutnya, pendekatan kerajaan GPS yang merangkumi semua kaum melalui dasar dalam bidang pendidikan, Skim Sumbangan Khas (SKS) dan bekalan elektrik membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan manfaat pembangunan dinikmati seluruh rakyat.
Beliau berkata, perpaduan dan kestabilan merupakan asas penting bagi membolehkan Sarawak terus memperkukuh kedudukannya serta melangkah lebih jauh dalam agenda pembangunan negeri.
“Kita perlu kuat kerana sudah tiba masanya Sarawak berada di tengah-tengah, bukannya sentiasa berada di pinggir. Satu-satunya cara untuk kita menjadi kuat adalah dengan bersatu dan terus mengekalkan kestabilan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berharap mendapat sokongan rakyat Batu Kawah bagi meneruskan usaha pembangunan di kawasan berkenaan yang menurutnya telah mengalami perubahan sepanjang tempoh kira-kira 10 tahun beliau berkhidmat.
Beliau optimis Batu Kawah akan terus mengalami perubahan lebih besar dalam tempoh lima tahun akan datang selaras dengan hala tuju pembangunan Sarawak.
“Batu Kawah bukan lagi seperti 10 tahun lalu dan dalam tempoh lima tahun akan datang, Batu Kawah akan mengalami lebih banyak perubahan,” katanya.-EDISI UKAS