Dato Sri Julaihi Menang Tanpa Bertanding Di DUN N.27 Sebuyau
SEBUYAU: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato Sri Julaihi Narawi diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.27 Sebuyau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 selepas proses penamaan calon selesai di Bilik Serbaguna Pejabat Daerah Sebuyau pada Sabtu.
Pengisytiharan itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ayuradiman Bujang selepas proses penamaan calon dan semakan dokumen pencalonan selesai dilaksanakan, dengan hanya seorang calon disahkan layak bertanding bagi kerusi berkenaan.
Kemenangan tersebut menyaksikan Dato Sri Julaihi yang juga penyandang kerusi DUN N.27 Sebuyau terus menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan bagi penggal seterusnya.
Beliau turut mengulangi pencapaian 30 tahun lalu apabila pernah menang tanpa bertanding pada PRN Sarawak 1996 atas tiket Barisan Nasional (BN) menerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Pengumuman kemenangan itu disambut dengan penuh kegembiraan oleh kira-kira 3,000 penyokong dan jentera parti yang berhimpun di sekitar pusat penamaan calon sejak awal pagi.
DUN N.27 Sebuyau mempunyai seramai 14,447 pengundi berdaftar pada PRN Sarawak Ke-13.
Susulan kemenangan tanpa bertanding itu, proses pengundian bagi kerusi DUN N.27 Sebuyau tidak akan diadakan.-EDISI UKAS