Bukit Saban Kekal Milik GPS, Datuk Amar Douglas Uggah Menang Tanpa Bertanding
SPAOH: Datuk Amar Douglas Uggah Embas disahkan menang tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.37 Bukit Saban pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Pengisytiharan itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Lister Clement Guwie selepas hanya satu kertas penamaan calon diterima bagi kerusi berkenaan sepanjang tempoh penamaan calon di Dewan Masyarakat Spaoh, pada Sabtu.
Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengemukakan kertas penamaan calon pada jam 9.06 pagi, dengan Datuk Richard Rapu @ Aman Begri sebagai pencadang dan Abang Madehi Abang Abdul Latip sebagai penyokong.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan beliau selepas proses semakan kertas penamaan calon selesai dan didapati memenuhi syarat yang ditetapkan, sekali gus mengesahkan beliau kembali dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi N.37 Bukit Saban.
Tempoh penerimaan kertas penamaan calon bagi kerusi berkenaan ditutup secara rasmi pada jam 10 pagi selepas tamat tempoh yang ditetapkan, dengan hanya satu kertas pencalonan diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Suasana hari penamaan calon turut menyaksikan kira-kira 1,500 penyokong GPS membanjiri kawasan Pasar Spaoh seawal jam 7 pagi bagi menyemarakkan sokongan terhadap calon parti itu.
Keseluruhan proses penamaan calon berlangsung dalam keadaan teratur dan aman dengan kawalan keselamatan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong, sekali gus memastikan urusan berjalan lancar.-EDISI UKAS