Dua Calon Sah Bertanding Di DUN Batu Kitang Pada PRN Sarawak Ke-13
PADAWAN: Seramai dua calon disahkan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.13 Batu Kitang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, menyaksikan pertandingan dua penjuru.
Pengesahan itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Goh Thiam Ho selepas proses penamaan calon selesai di Bilik Latihan, Tingkat 3, Majlis Perbandaran Padawan (MPP) pada Sabtu.
Calon yang disahkan bertanding ialah penyandang kerusi berkenaan, Dato Ir. Lo Khere Chiang daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Soo Tien Ren daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Dato Ir. Lo, 66, merupakan calon daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di bawah GPS, manakala Soo, 29, merupakan calon muka baharu yang diketengahkan oleh DAP.
Kedua-dua calon hadir bersama pencadang dan penyokong masing-masing bagi mengemukakan borang pencalonan sebelum proses penamaan calon ditutup pada jam 10 pagi.
Proses penamaan calon berlangsung lancar dalam suasana yang tenang, terkawal dan teratur tanpa sebarang bantahan atau pertikaian berkaitan dokumen pencalonan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Disember 2026 sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak Ke-13. – EDISI UKAS