Pembangunan Infrastruktur, Pendidikan Terus Jadi Keutamaan Layar
BETONG: Pembangunan infrastruktur dan pendidikan akan terus diberi perhatian dalam usaha memperkukuh sosioekonomi serta meningkatkan taraf hidup masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.36 Layar.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, beberapa projek strategik di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) yang kini dalam proses tender perlu dilaksanakan dengan teratur bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat.
Menurutnya, pengurusan projek secara teratur dan telus penting, terutama dalam menghadapi cabaran peningkatan kos semasa.
Beliau turut menyentuh manfaat pembukaan rasmi Jambatan Batang Lupar 2 yang meningkatkan kesalinghubungan antara Sri Aman dan Betong, sekali gus memendekkan masa perjalanan serta memudahkan pergerakan penduduk.
Katanya, pembangunan infrastruktur berkenaan berpotensi membuka lebih banyak peluang kepada rakyat dan menyokong pertumbuhan ekonomi kawasan setempat.
Dalam aspek pendidikan, beliau berharap pelajar di kawasan Layar memperoleh keputusan baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memanfaatkan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Mengulas kepercayaan yang diberikan kepadanya, beliau merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, atas peluang untuk terus mewakili kawasan Layar.
Beliau turut menghargai sokongan rakyat Layar dan Betong serta menyifatkan kepercayaan tersebut sebagai amanah untuk meneruskan agenda pembangunan dan meningkatkan sosioekonomi masyarakat setempat.
Menurutnya, pencapaian serta pelaksanaan pembangunan sebenar merupakan antara aspek yang dinilai rakyat dalam menilai kepimpinan, berbanding retorik politik semata-mata.
Datuk Gerald yang merupakan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) sah memenangi kerusi DUN N.36 Layar tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 selepas tiada calon lain mengemukakan kertas penamaan sehingga tempoh pencalonan ditutup pada jam 10 pagi, Sabtu.
Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Laga Kueh, di Pusat Penamaan Calon, Dewan Layar, Pejabat Daerah Betong.
Turut hadir ialah mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Alfred Jabu Numpang.-EDISI UKAS