Dato Sri Huang Tiong Sii Menang Tanpa Bertanding Di DUN N.45 Repok
SARIKEI: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato Sri Huang Tiong Sii, menang tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.45 Repok pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 selepas menjadi satu-satunya calon mengemukakan kertas penamaan.
Pengesahan itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Louis Yeo Soon Guan, selepas proses penamaan calon selesai di Dewan Suarah Sarikei pada Sabtu.
Kemenangan tersebut menyaksikan Dato Sri Huang meneruskan rekod penguasaannya di kerusi DUN Repok selepas memenangi kerusi berkenaan pada PRN Sarawak 2021 dengan majoriti 7,308 undi.
Suasana di Dewan Suarah Sarikei turut diserikan dengan kehadiran kira-kira 2,000 penyokong GPS yang hadir memberikan sokongan kepada beliau.
Walaupun hujan, para penyokong tetap membanjiri kawasan sekitar dengan membawa payung berlogo GPS.
Secara keseluruhannya, proses penamaan calon berlangsung dengan lancar dan terkawal tanpa sebarang insiden yang menjejaskan keselamatan atau ketenteraman awam.-EDISI UKAS