Dato Sri Lee Tekad Pastikan Kesinambungan Pembangunan Senadin
MIRI: Kesinambungan pembangunan di kawasan Senadin dan Miri menjadi keutamaan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.75 Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin, sekiranya diberi mandat sekali lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Beliau berkata, tumpuan dalam tempoh lima tahun akan datang adalah memastikan projek pembangunan yang telah diluluskan, sedang dilaksanakan dan dalam perancangan dapat direalisasikan demi manfaat rakyat.
Menteri Pengangkutan Sarawak itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai proses penamaan calon di Pusat Penamaan Calon DUN N.75 Senadin, Dewan Interim ADTEC JTM Kampus Miri, pada Sabtu.
Menurutnya, Senadin telah melalui transformasi pembangunan yang ketara sepanjang 30 tahun lalu, daripada kawasan yang sebahagian besarnya terdiri daripada tanah gambut dan hutan kepada kawasan pembangunan pesat.
Beliau menegaskan bahawa kesinambungan pembangunan amat penting bagi memastikan semua projek yang dirancang dan sedang dilaksanakan dapat disiapkan mengikut perancangan, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan penduduk Senadin dan Miri dalam tempoh lima tahun akan datang.-EDISI UKAS