SEBAUH: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.69 Kemena bakal menyaksikan persaingan satu lawan satu apabila dua calon disahkan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Pengesahan tersebut diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Thaddeus Ling Anak Bartholomew Allu, selepas proses penamaan calon selesai berlangsung di Balai Raya Sebauh, pada Sabtu.
Dua calon yang bakal merebut mandat pengundi ialah penyandang kerusi berkenaan, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom yang mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS), manakala pencabarnya ialah Dr. Bernard Tahim Anak Bael daripada Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS).
Pertembungan dua penjuru itu sekali gus menetapkan persaingan antara kedua-dua calon dalam usaha meraih kepercayaan dan sokongan pengundi di kawasan Kemena.
Suasana di pusat penamaan calon berlangsung dengan tenang dan terkawal, tanpa sebarang insiden yang menjejaskan kelancaran proses berkenaan.
Sementara itu, penyertaan calon GPS, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Anak Utom, turut mendapat sambutan meriah apabila ratusan penyokong hadir berarak mengiringi beliau ke pusat penamaan calon, sekali gus memperlihatkan sokongan jentera parti pada hari penting tersebut.
Dengan pengesahan dua calon ini, perhatian kini tertumpu kepada persaingan sepanjang tempoh kempen bagi menentukan siapa yang bakal memperoleh mandat rakyat untuk mewakili DUN N.69 Kemena.-EDISI UKAS