Empat Calon Sah Bertanding Rebut Kerusi DUN N.77 Telang Usan
LONG LAMA: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.77 Telang Usan menyaksikan pertandingan empat penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 apabila empat calon disahkan layak bertanding selepas proses penamaan calon selesai.
Pengesahan tersebut diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ezra Uda, selepas proses penamaan calon yang berlangsung di Dewan SJKC Kee Tee Long Lama, di sini, pada Sabtu.
Empat calon yang disahkan bertanding ialah George Laeng (BEBAS), Dato Dennis Ngau (GPS), Tommy Jok (BEBAS) dan Miri Janging@Mary Jangin (PBDS).
George Laeng merupakan calon pertama memasuki pusat penamaan calon pada jam 9.03 pagi, diikuti Dato Dennis Ngau pada jam 9.07 pagi.
Tommy Jok pula tiba pada jam 9.15 pagi, manakala Miri Janging@Mary Jangin menjadi calon terakhir memasuki pusat penamaan calon pada jam 9.19 pagi.
Proses penamaan calon berlangsung dalam suasana tenang dan teratur dengan kehadiran kira-kira 300 penyokong GPS serta penyokong calon-calon lain yang menunggu di khemah disediakan.
Tiada sebarang insiden tidak diingini dilaporkan dan tiada bantahan dikemukakan terhadap mana-mana calon sepanjang tempoh proses penamaan calon berlangsung.
Berdasarkan undian nombor calon, Tommy Jok mendapat nombor satu, Dato Dennis Ngau nombor dua, George Laeng nombor tiga, manakala Miri Janging@Mary Jangin mendapat nombor empat pada kertas undi.
Persaingan empat penjuru itu bakal menyaksikan keempat-empat calon berusaha mendapatkan mandat pengundi di DUN N.77 Telang Usan pada PRN Sarawak Ke-13.-EDISI UKAS