BINTULU: Tiga calon disahkan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.70 Samalaju pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, membabitkan pertembungan Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK).
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Sharpini Daud mengesahkan penyertaan ketiga-tiga calon itu pada jam 10.22 pagi selepas proses penamaan calon di Stadium Muhibah, Bintulu.
Calon yang bertanding ialah Baba Emperan daripada PBDS dengan nombor 1, Datuk Majang Renggi (GPS) nombor 2 dan Simon Petrus (PBK) nombor 3.
Baba tiba di pusat penamaan calon pada jam 9.03 pagi, diikuti Simon pada jam 9.07 pagi dan Datuk Majang pada jam 9.12 pagi.
Proses penamaan calon berlangsung lancar tanpa sebarang insiden, dengan kawalan keselamatan diperketatkan di kawasan pusat penamaan calon.
Kehadiran penyokong GPS dilihat lebih ramai berbanding PBDS, manakala tiada penyokong PBK kelihatan di lokasi.
Cuaca yang pada awalnya mendung dan disertai hujan renyai kembali cerah sebelum proses penamaan calon selesai.– EDISI UKAS