Dayang Noorazah Menang Tanpa Bertanding Di DUN Lingga
SIMANGGANG: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dayang Noorazah Awang Sohor diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.28 Lingga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 selepas proses penamaan calon selesai di Dewan Suarah Sri Aman pada Sabtu.
Pengisytiharan itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Shariff Bujang selepas proses penamaan calon dan semakan dokumen pencalonan selesai dilaksanakan, dengan hanya seorang calon disahkan layak bertanding bagi kerusi berkenaan.
Kemenangan tanpa bertanding itu menyaksikan Dayang Noorazah berjaya mengekalkan kerusi DUN N.28 Lingga bagi penggal seterusnya.
Beliau tiba di pusat penamaan calon pada jam 8.20 pagi bersama pencadang, Zeliha Jamal Awang dan penyokong, Mushtapa Awang Lamudin bagi mengemukakan borang pencalonan.
Turut mengiringi beliau ialah Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Premier Sarawak, Datuk Bujang Helmi Hazemi serta kira-kira 600 penyokong GPS.
Proses penamaan calon berlangsung lancar dalam suasana yang tenang dan terkawal mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Susulan kemenangan tanpa bertanding itu, proses pengundian bagi kerusi DUN N.28 Lingga tidak akan diadakan. –EDISI UKAS