Mohamad Duri Pertahan Kalaka, PBDS Tampil Sebagai Pencabar
SARATOK: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.38 Kalaka, Mohamad Duri bakal berdepan cabaran daripada Parti Bansa Dayak Sarawak Baharu (PBDS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, sekali gus menyaksikan pertandingan dua penjuru di kawasan berkenaan.
Mohamad Duri mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS), manakala PBDS menampilkan Muhammad Syafiq @ Thomas Abdullah sebagai pencabar bagi kerusi DUN Kalaka selepas kedua-dua calon mengemukakan kertas penamaan masing-masing di Dewan Pejabat Daerah Saratok, pada Sabtu.
Mohamad Duri yang berada pada kedudukan pertama dalam kertas undi, dikemukakan dengan Gan Eng Kiat sebagai pencadang dan Gapor Ahmad sebagai penyokong.
Sementara itu, Muhammad Syafiq @ Thomas Abdullah yang berada pada kedudukan kedua dalam kertas undi, dikemukakan dengan Abang Mohtar Abang Jolkipli sebagai pencadang dan Gindau Das sebagai penyokong.
Terdahulu, Mohamad Duri tiba di pusat penamaan calon dengan diiringi kira-kira 1,500 penyokong yang berarak dari lokasi berkumpul menuju ke pusat berkenaan seawal pagi, dalam suasana yang teratur.
Proses penamaan calon berlangsung lancar dan terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini, dengan penyokong kedua-dua pihak turut mematuhi arahan keselamatan serta peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.-EDISI UKAS